Dr Yusuf al-Qaradhawi ditanya:
“Apa hukum wanita bekerja? Iaitu bekerja di luar rumah sebagaimana lelaki?
Bolehkah wanita berkerjaya? Bukankah kewajipan wanita berada di dalam rumahnya?”
Syeikh al-Qaradhawi menjawab:
Allah Memberi Tanggung Jawab Kepada Manusia dengan Kerja (Amal)
Wanita adalah manusia sebagaimana lelaki. Lelaki sebahagian daripada wanita dan wanita sebahagian daripada lelaki. Sebagaimana firman Allah SWT, “Sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.” (Ali Imran: 195).
Allah menciptakan manusia untuk bekerja, bahkan Dia ingin tahu siapa yang membuat kerja (amal) secara terbaik. “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) “ (Surah al-Mulk, ayat 2).
Keperluan Ummah dan Dunia Kepada Tenaga Wanita
Wanita sebagaimana lelaki dibebani untuk bekerja (amal). Dan kerja yang dilakukan dengan terbaik akan memperolehi hasil terbaik. Firman Allah SWT, “Rab (Tuhan) mereka memperkenankan (permohonan) mereka (dan Allah berfirman): “Aku (Allah) tidak akan mempersiakan amalan orang yang beramal di kalangan kamu, baik lelaki mahupun perempuan; sebahagian kamu berasal daripada sebahagian yang lain.”
Wanita sebagaimana yang dikatakan selalu adalah sebahagian daripada komuniti manusia. Tidak boleh dibayangkan bagaimana Islam kehilangan sebahagian dari komunitinya (jika semua wanita tidak berkerja), lalu dinyatakan sebagai agama yang jumud dan stagnan (‘down’, terhenti, membosankan), yang hanya mengambil dari kehidupan tetapi tidak memberi kepada kehidupan, hanya mengkomsumsi (menjadi pengguna) akan tetapi tidak berproduksi (menjadi pengeluar).
Fiqh Prioriti: Mendidik Generasi Adalah Kerja Utama Wanita
Pekerjaan wanita yang pertama dan utama adalah mendidik para generasi. Allah SWT telah menyiapkan jiwa dan fizikal wanita untuk melakukan tugas ini. Kerana itu, sebaik-baiknya kita hendaklah tidak menyibukkan wanita dengan kesibukan lain, sehingga memalingkan wanita dari tugas mulia ini. Tidak seorangpun mampu menggantikan kedudukan wanita dalam tugas mulia ini. Di tangannyalah bergantung kehidupan umat manusia.
Moga rahmat Allah tercurah kepada al-Hafiz Ibrahim yang telah bersyair:
Ibu adalah madrasah (sekolah), jika engkau mempersiapkannya
Beerti engkau telah mempersiapkan bangsa yang hebat dan kuat.
Pekerjaan utama tersebut ialah tugasnya menguruskan rumah tangga, membantu suaminya, membentuk keluarga bahagia yang tegak di atas kedamaian, kasih sayang dan rahmat. Disebutkan dalam ssatu riwayat bahawa pekerjaan terbaik wanita adalah menyiapkan keperluan suaminya untuk pergi berjihad.
Hukum Mengharuskan Wanita Keluar Berkerja
Huraian di atas tidak bermakna haram bagi wanita berkerja di luar rumah. Hukum haram hanya boleh ditetapkan dengan nas sahih dan jelas maknanya. Sebagaimana diketahui bahawa, setiap perkara adalah boleh hukumnya kecuali ada dalil yang mengharamkannya.
Maka, pada dasarnya ‘boleh’ bagi wanita untuk berkarier. Dalam keadaan-keadaan tertentu, ia boleh menjadi dianjurkan, atau bahkan diwajibkan, jika memang terdesak dengan tuntutan hidup. Contohnya, janda atau wanita yang ditalak dan dia tidak mempunyai hasil pendapatan, sementara itu dia mempunyai kemahiran atau keahlian tertentu untuk digunakan. Dalam konteks ini, bekerja dengan kemahiran atau keahliaannya itu boleh menyelamatkannya daripada hidup meminta-minta.
Contoh Wanita Berkerjaya Dalam Al-Quran dan Hadis
Kadang kala, keluarga yang memerlukan tenaga wanita berkerja, seperti membantu pekerjaan suaminya, mendidik anaknya atau saudara perempuan yang masih kecil atau membantu orang tuanya sebagaimana yang diceritakan dalam Surah al-Qashash tentang dua anak gadis yang membantu orang tuanya yang sudah lanjut usia dalam menggembalakan kambingnya.
Firman Allah SWT, “Dan tatkala ia sampai di sumber air negeri Mad-yan ia menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang meminumkan (ternaknya), dan ia men- jumpai di belakang orang banyak itu, dua orang wanita yang sedang menghambat (ternaknya). Musa berkata: “Apakah maksudmu (dengan berbuat at begitu)?” kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapak kami adalah orang tua yang Telah lanjut umurnya”.
Riwayat lain juga menyebutkan bahawa Asma’ binti Abu Bakar-pemilik dua ikat pinggang (Dzatil Nitaqain)- berkerja membantu suaminya Zubair bin al-Awwam dalam merawat kuda-kudanya, menggiling bijian lalu ditiriskan. Asma’ membawa gilingan bijian-bijian tersebut dari kebunnya yang jaraknya sangat jauh dari Kota Madinah.
Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy mahir menyamak kulit, memintal serta menenun kain sutera, hasilnya dijual di pasar dan disedekahkan. Itulah kerjaya Zainab yang menguatkan sumber ekonominya hinggakan beliau mempunyai keistimewaan sebagai seseorang yang banyak bersedekah. Lalu, mendapat julukan ‘panjang tangan’ (bermaksud banyak bersedekah) oleh Rasulullah SAW.
Keperluan Masyarakat Kepada Doktor Wanita, Jururawat, Guru Wanita dan Sebagainya
Kadang-kadang juga masyarakat sendiri yang memerlukan tenaga wanita seperti doktor wanita, atau jururawat wanita atau guru wanita dan pekerjaan seumpamanya yang secara khusus lebih mahir dikerjakan oleh wanita. Paling ideal, wanita bekerja dengan kaum wanita, dan tidak dengan kaum lelaki, kecuali kerana keperluan mendesak yang mengharuskan wanita hadir dalam pekerjaan tersebut.
Syarat-syarat dan Batasan-batasan Wanita dalam Berkarier
1. Pekerjaan tersebut memang disyariatkan. Ertinya bukan pekerjaan haram atau membawa kepada perkara haram seperti:
a. Teman sosial kepada lelaki
b. Setiausaha kepada pengarah yang memerlukannya duduk seruangan dengannya (biasanya di pejabat-pejabat, S/U selalu berdua-duaan dengan pengarah. Saya kagumi cara Syarikat Telaga Biru Sdn Bhd yang melantik setiausaha bagi pengarah iaitu seorang wanita yang mempunyai pertalian darah).
c. Penari
d. Pelayan bar yang menyediakan minuman keras yang dilaknat oleh Rasulullah SAW penuangnya, pembawa dan penjualnya
e. Pramugari yang memerlukannya sentiasa tersenyum menyambut penumpang atau sering melakukan perjalanan jauh tanpa mahram, dan yang memerlukannya duduk sendirian di negara orang lain.
f. Dan lain-lain pekerjaan yang diharamkan Islam bagi wanita apatah lagi pekerjaan yang diharamkan bagi lelaki dan wanita.
2. Menjaga adab wanita muslimah saat keluar rumah dengan menjaga cara berpakaian, berjalan, berbicara, bahkan bergerak. Allah SWT berfirman, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup dada (juyub[1]) dengan tudung kepala mereka (khimar);
3. Pekerjaan itu tidak sampai melalaikan kewajipan utamanya, seperti kewajipan mengurus suami dan anak-anaknya. Sebab itulah pekerjaan dan kewajipan yang paling utama seorang wanita.
Saranan Al-Qaradhawi Buat Pemerintah
1. Pemerintah hendaklah menyiapkan sesuatu berupa Undang-undang Tenaga Kerja dan saranan pekerjaan bagi para wanita ketika keperluan mendesaknya berkerja untuk dirinya, keluarganya atau masyarakatnya. Persiapan ini penting dilakukan agar harga diri wanita tidak tergadai atau tidak mengacau kewajiban rumah tangga.
2. Pemerintah hendaklah membuat peraturan yang memudahkan peranan serta memudahkan wanita ini, misalnya separuh kerja dengan separuh upah. Seperti kerja 3 hari dalam seminggu dan upah disesuaikan dengan hari kerjanya. Contoh lainnya adalah seperti adanya undang-undang cuti menikah, melahirkan atau peraturan khusus bagi ibu menyusu. (Alhamdulillah sebahagiannya telah dinikmati oleh wanita di Malaysia).
3. Pemerintah harus mempersiapkan sekolah agama, sekolah umum dan universiti khusus untuk kaum wanita, sehingga kaum wanita mempunyai peluang berolah raga dan melakukan aktiviti lain yang menyihatkan.
4. Menyediakan bahagian dan tempat khusus bagi wanita yang berkerja di pemerintahan, yayasan, atau bank sehingga menghindarkan terjadinya fitnah, serta fasiliti-fasiliti lain yang disesuaikan dengan keperluan[2].
Kesimpulan Penulis (Fatimah Syarha).
Hormatilah wanita yang memilih untuk berada di rumah. Mereka bukannya ketinggalan zaman sebaliknya keluarga mereka lebih memerlukan mereka di situ.
Hormatilah juga wanita yang memilih untuk berkerjaya. Mereka bukannya melakukan suatu dosa seolah-olah berkerjaya itu haram sebaliknya mereka melakukan sesuatu yang harus.
Samada berada di rumah atau berkerjaya, masing-masing ada sebab dan keperluannya yang tersendiri. Masing-masing ada peranan yang besar buat diri, keluarga dan ummah. Asal saja tugas utama wanita iaitu mendidik generasi terus terpelihara. Asal juga suami redha dengan pilihannya. Berbincanglah.
Wanita yang memilih untuk berada di rumah namun tidak berusaha memberi didikan kepada anak-anaknya, akan gagal mencapai matlamat mendidik generasi.
Wanita yang memilih untuk berkerjaya namun tidak menyediakan pengurusan yang terbaik untuk rumah tangganya, akan gagal juga mencapai matlamat.
Tips bagi wanita berkerjaya:
1. Jika perlu, ambillah pembantu rumah yang dididik dan dihargai dengan baik agar urusan teknikal rumah tangga tersusun rapi. Isteri-isteri Rasulullah SAW meskipun kebanyakan mereka tidak berkerja di luar rumah namun kebanyakkan mereka mempunyai pembantu. Masakan tidak, isteri baginda yang berada di rumah itu juga mempunyai kesibukan untuk menekuni ilmu.
2. Wanita yang berkerjaya dari rumah juga mungkin perlukan pembantu kerana kesibukan kerjaya itu dan kesibukan urusan rumah tangga. Jika mereka mampu melakukan kerja-kerja teknikal di rumah itu sendiri, tidak mengapa. Tapi realitinya, kerja-kerja teknikal di rumah tidak pernah habis, ditambah lagi dengan ragam anak-anak yang sentiasa inginkan perhatian. Terpulang pada kebijaksanaan masing-masing dalam memastikan adanya keseimbangan.
3. Pilih penjaga atau nursery yang terbaik untuk jagaan sementara bagi anak-anak dengan membuat pemantauan teliti terlebih dahulu. Maka, isteri boleh berkerjaya dengan lebih fokus dan professional dalam waktu kerjanya.
4. Lebih menarik jika wanita boleh memilih suatu pekerjaan yang mempunyai masa anjal dan lebih mesra famili.
Rujukan~Ustazah Fatimah Syarha
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Catatan: Hanya anggota dari blog ini yang dapat mengirim komentar.